Amanah Selangor bakal bertanding 9 kerusi PRN Selangor
Parti Amanah Selangor mengesahkan akan bertanding di sembilan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor bulan depan.
Pengerusinya, Izham Hashim berkata, parti itu akan mempertahankan DUN Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Satu lagi kerusi adalah di Hulu Bernam, kami tukar dengan Barisan Nasional (BN) manakala kerusi Jeram mereka (BN) ambil,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.
Mengulas mengenai calon Amanah Selangor, Izham berkata, senarai calon parti itu akan dimuktamadkan hari ini (13 Julai) oleh kepimpinan peringkat tertinggi Amanah.
“Jawatankuasa calon dah selesai pilih (calon), esok dibawa ke peringkat tertinggi untuk mengesahkan nama-nama yang dicalonkan. Kami akan umum setelah selesai kelak.
“Calon-calon yang dipilih haruslah mempunyai kriteria yang ditetapkan seperti kelulusan akademik, pengalaman dalam politik, boleh bekerja dan berjawatan di dalam parti,” katanya sambil menambah, Amanah akan menampilkan kombinasi calon muka baharu dan lama, anak muda serta wanita.
Mengenai persediaan parti itu menghadapi saingan daripada Perikatan Nasional (PN) di Selangor, beliau berkata, pihaknya percaya mampu mempertahankan sekurang-kurangnya lapan kerusi pada PRN kali ini.
“Kami dah perintah Selangor tiga penggal, kita boleh lihat stabil, makmur dan sejahteranya Selangor ini. Tiada sebab pengundi mahu membuat pertukaran.
BACA JUGA:‘Hadiah’ Anwar tak jamin tarik sokongan peneroka muda Felda, kata NGO