Secara peribadi, saya sungguh tak bersetuju dengan perbandingan ni.
Kopi kayangan jenama francais ni yang meminumnya bukan dari kalangan golongan yang kais pagi, makan pagi. Kais petang, makan petang. Tidak.
Kalau lah tukang cuci yang bersihkan rumah saya setiap minggu, mereka nak jejakkan kaki ke kafe tu pun tak berani, kita pun maklum yang mereka nak memilih minuman pun retinya tak.
Mereka yang miskin ni, ramainya keluarga pun besar. Duit yang sikit nak dibahagi untuk segala benda nak dibayar termasuk hidangan harian, memang perit.
Beras adalah ruji untuk mereka. Tu lah selama ni yang kenyangkan perut mereka dengan harga yang murah.
Kita beria nak menyuruh mereka ¼ protein dalam pinggan. Malangnya, mereka ni, potongan ayam tu kecil cinonet. Iya lah, ayam tu nak diagih di kalangan ahli keluarga sedangkan ayam seekor dah berapa harganya.
Sehari untuk makan saja, paling kurang 2 kali. Kalau anaknya 5, campur mak ayah, 7 orang. Anak-anak tengah membesar, ayam ½ ekor sekali hadap saja. Tu baru sekali makan.
Tu belum bercerita pasal ikan. Ikan kembung pun dah hampir RM20 sekilo. Sepatutnya kalau saiz sederhana, 1 ekor seorang lah.
Daging lembu jauh sekali lah. Pembantu rumah saya tu, daging hanya setahun sekali. Tu pun sebab dapat sedekah sempena korban Aidiladha. Kambing? Jangan disebut. Memang tak ada dalam kamus.
Telur lah peneman nasi. Sepapan tu memang sekejap saja habisnya. 7 orang kan. Tu pun bercubit makan.
Dek kerana masih belum kenyang, mereka jadikan nasi sebagai sumber utama. Tu yang penuh bertimbun kat pinggan.
Walaupun kita ni dok berpesan, nasi tu ¼ saja lah. Saya seram bila melihat pinggan pelanggan di kedai makan yang menjual lauk-pauk. Nasi banyak betul.
Sepatutnya ada sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai hidangan penting. Sumber serat, vitamin dan mikronutrien. Tapi tu lah, yang ni saya bincang lain kali saja lah.
Saya mengakui, adakalanya bila berdepan dengan mereka yang berpendapatan kecil, sayur dan buah ni bukan perkara utama. 1kg buah limau, diserbu anak-anak macam piranha. Ada duit lebih, baru lah dibeli.
Nak menanam sayur-sayuran, waima kangkung, kalau rumah tu bukan jenis burung merpati, boleh lah. Kekadang balkoni pun tak ada kalau namanya rumah pangsa.
Saya belum buka lagi cerita tentang anak-anak yang kalau ada sayur dalam nasi goreng pun dikuis ke tepi.
Bukan saya memberi alasan untuk mereka. Tapi ini lah realiti yang saya hadapi selama bekerja. Nak betulkan tabiat makan untuk 1 keluarga, adalah cabaran yang terlalu besar. Pada kebanyakan mereka, asal ada makanan, cukup.
Bila beras naik harga, dengan mendadak, tersangat lah terasa bagi mereka. Bahan utama yang selama ni yang mengisi perut menjadi mahal, pastinya menekan mereka yang sudah sedia sempit.
Bila dibandingkan sekampit beras dan segelas kopi yang lebih kurang saja harganya, ia tidak adil.
Sasaran kopi ni adalah kumpulan sosial tertentu, sedangkan beras adalah benda wajib untuk majoriti rakyat marhaen. Kita bukan pemakan pasta atau roti. Pasta dan roti pun bukan murah lah.
Saya tak nafikan, ada yang sanggup mengikat perut semata nak membeli ipong, tapi percaya lah, ramainya yang masih berjimat-cermat selagi boleh demi sepinggan nasi untuk keluarga.
Pesanan saya kepada yang menjadi pemimpin, kasihani lah mereka yang sedang merana dek himpitnya hidup sekarang. Jangan dok berbicara, lakukan sesuatu.
BACA :