Polis Bangkok dilaporkan berjaya menahan seorang lelaki yang mengaku mencuri rantai emas milik warga Myanmar demi membawa isterinya bercuti, lapor The Thaiger.
Susulan kejadian itu, mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bang Khun Tian pada Ahada, 22 Oktober lalu.
Ketika kejadian, mangsa berkata bahawa seorang lelaki bermotosikal telah meragut rantai emas miliknya ketika berada di pasar di Sirichai.
Bagaimanapun, pencuri itu hanya berjaya meragut sebahagian daripada rantai emas itu yang dianggarkan bernilai hampir 40,000 baht (RM5,287).
Hasil semakan rakaman CCTV dari pasar dan kawasan sekitar, polis akhirnya berjaya mengenal pasti suspek warga Thailand yang berusia 35 tahun.
Suspek akhirnya berjaya ditahan ketika cuba pulang ke rumahnya di daerah Samut Jedhi, wilayah Samut Prakarn.
Suspek mengakui perbuatannya dan mendedahkan bahawa dia mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa membuat keputusan untuk melakukan jenayah itu.
Selain itu, suspek juga mendedahkan bahawa dia telah menjual sebahagian daripada rantai emas itu kepada sebuah kedai emas dengan harga 18,900 baht (RM2,498).
Tambahnya lagi, hasil wang itu kemudiannya digunakan semasa percutian bersama isterinya ke daerah Bang Saen di wilayah Chon Buri.
Lebih mengejutkan adalah suspek mengaku telah melakukan satu lagi kes kecurian rantai emas bernilai 15,000 baht (RM1,987).
Namun begitu, suspek tidak sempat untuk membelanjakan hasil curinya itu kerana telah ditangkap oleh polis.
Sehubungan itu, suspek dikatakan bakal menghadapi pertuduhan berkaitan kecurian dan penggunaan kenderaan semasa jenayah.
Boleh dipenjara lima tahun dan denda
Pertuduhan tersebut membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan denda sekurang-kurangnya sebanyak 100,000 baht (RM13,215).
Suspek juga dikatakan mempunyai rekod jenayah di mana dia didakwa sebanyak lima kali dalam kes berkaitan dadah dan dibebaskan dari penjara pada akhir 2021 lalu.
Terdahulu, kes kecurian serupa pernah dilaporkan berlaku pada September melibatkan seorang lelaki Thailand mencuri 120 pek produk pemutih kulit.
Kejadian dilaporkan berlaku di kedai serbaneka 7-Eleven di wilayah Isaan, Surin.
Selain produk pemutih kulit, suspek juga telah mencuri minuman keras untuk dikongsikan bersama dengan rakan-rakannya.
PAKEJ INTERNET RUMAH MURAH & LAJU TM
BACA :