Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian bekas ahli kumpulan nasyid Inteam, iaitu Suhaimi Saad, yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.40 malam tadi.
Beberapa hari yang lalu, media melaporkan bahawa bekas penyanyi nasyid itu telah mengalami kegagalan organ dalaman
Yang menyebabkan dia ditidurkan. Beliau bergantung pada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Johor.
Sejak empat bulan lalu, Suhaimi mengalami masalah batuk kronik dan cirit-birit selama tiga bulan. Penyakit yang dideritanya menyebabkan kehilangan berat badan secara mendadak, sebelum akhirnya ‘segalanya’ tamat setelah dia pergi menghadap Penciptanya.
Mula Mencipta Nama Sejak Tahun 2000
Bagi generasi baharu, mungkin tidak terlalu akrab dengan figura ini, tetapi Suhaimi telah mencipta nama dalam dunia seni sejak tahun 2000. Beliau merupakan salah seorang ahli Inteam sehingga 2005. Pada tahun yang sama, Suhaimi memutuskan untuk bergerak secara solo.
Suhaimi, atau nama sebenarnya Muhd Suhaimi Saad, sebelum ini dikenali sebagai Suhaimi Inteam. Setelah bergerak solo, beliau dikenali sebagai Suhaimi Saad. Bekas penyanyi nasyid yang berusia 43 tahun ini mempunyai ijazah dalam pengajian Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Anak kelima daripada enam adik beradik ini juga memiliki syarikat pengurusan sendiri, Karya Mosus, dan mula menerbitkan album solo pertama, “Kias Cinta,” pada 2006.
Karya Seni yang Dihasilkan
Seterusnya, Suhaimi aktif menghasilkan lagu dengan album seperti “Kalamak” pada tahun 2008, “Zikir Selawat dan Doa” pada 2013, dan “Maksud Hidup” pada tahun 2016. Tidak lupa, Suhaimi juga menghasilkan enam album bersama Inteam, termasuk “Kasih Kekasih” (2000), “Impian Kasih” (2001), dan “Damba Kasih” (2003).
Dalam aspek kehidupan peribadi, Suhaimi berkahwin pada 12 Ogos 2007 dengan Ina Naim, bekas tunang kepada Asmawi Ani atau Mawi, juara Akademi Fantasia musim ketiga. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.
Meskipun terlibat dalam industri muzik selama bertahun-tahun, Suhaimi mengumumkan keputusannya untuk tidak lagi bergelar penyanyi nasyid pada tahun 2021. Beliau yang selesa dipanggil dengan namanya sendiri juga menjalankan pelbagai pekerjaan sampingan, termasuk menjadi guru mengaji dalam talian, tukang urut, dan perniagaan dalam talian bersama isterinya.
Fakta Menarik tentang Suhaimi
Suhaimi sering melakukan persembahan live dan tidak pernah miming ketika menyanyikan lagu-lagunya di depan ramai. Rekod paling pantas lagu yang dirakamnya siap dalam waktu kurang daripada 10 minit, membuktikan bahawa dia adalah seorang penyanyi berkaliber.
Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, Suhaimi mula aktif di aplikasi TikTok dan sering melakukan siaran langsung untuk berinteraksi dengan pengikutnya. Beliau rajin menyantuni warga maya dan berkongsi ilmu tentang kisah-kisah nabi serta ilmu yang bermanfaat.
Walaupun kita bersedih dengan pemergiannya, Allah juga telah menyatakan ‘setiap yang bernyawa pasti akan mati.’ Marilah kita sedekahkan surah Al-fatihah kepadanya dan berdoa agar dia ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.