Isteri masuk hospital, suami tiba-tiba romantik saji makanan siap bagi ‘surprise’ patung doraemon!
Berhari hari terlantar di hospital sudah tentu amat menyedihkan, tambahan pula terpaksa berjauhan dengan orang tersayang.
Namun, kesedihan seorang wanita bagaikan terubat dengan kehadiran suami yang menghantar makanan terus ke katil di wad.
Menerusi video yang tular, si suami hadir bukan sebagai pelawat, tetapi kakitangan di hospital yang bertugas untuk menghantar makanan kepada pesakit.
Berkongsi cerita kepada mStar, wanita berkenaan, Norhashima Hamzah berkata, dia dimasukkan ke hospital selama 10 hari kerana penyakit asma.
Mesra disapa Shima, jelasnya, lelaki di dalam video itu merupakan suaminya yang bertugas di unit sajian dan dietetik di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
“Sepanjang di wad, saya banyak berehat, diberi rawatan dan makan ubat. Suami pernah datang hantar makanan tapi saya tidur, dan dia pun tak nak ganggu saya berehat.
“Saya hanya tahu selepas dapat mesej daripada suami, memang frust sebab tak tengok depan-depan. Tapi masa rakaman tu, saya terjaga dan giliran dia bertugas hantar ke wad saya,” katanya
Shima yang berusia 30 tahun tidak dapat menahan rasa teruja apabila suami sendiri, Mohd Khairul Jazli Mohd Jaiz, 30, yang bertugas menghantar makanan ke katilnya.
“Saya pernah dimasukkan ke hospital pada 2021 tetapi disebabkan ketika itu terikat dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana pandemik Covid-19, jadi suami hanya boleh hantar makanan melalui pengawal keselamatan.
“Suami baru bekerja di hospital ini kira-kira tiga bulan lalu. Rezeki saya apabila suami sendiri hantar makanan yang disediakan pihak hospital,” ujarnya yang berasal dari Kuala Nerus, Terengganu.
Mendirikan rumah tangga pada 2021, Shima bagaimanapun mengakui suaminya bukanlah seorang yang romantik.
“Suami saya tak romantik. Kalau birthday saya, kek pun saya sendiri yang beli. Tapi kali ini sikap suami amat berlainan sekali.
“Hantar makanan tu memang tugas suami, tapi dia kerap datang menjenguk keadaan saya apabila ada masa terluang dan selepas tamat waktu bekerja.
“Paling terkejut apabila dia siap bagi surprise hadiah berupa anak patung, madu dan makanan. Luar biasa romantik dia, saya betul-betul rasa terharu,” katanya yang berkhidmat sebagai jururawat pergigian.
Shima yang menghidap penyakit asma sejak usia kanak-kanak berkata keadaan kesihatannya semakin kronik sejak awal tahun ini namun reda dengan ujian Allah.
“Allah nak uji kami. Suami bukan romantik, tapi dia peramah, sangat penyabar dan sering mengambil berat.
“Saya ada cakap andai kata ini kali terakhir dia jaga saya, rakaman video di hospital ni boleh dijadikan sebagai kenangan. Jika jodoh kami panjang, Alhamdulillah.
“Suami nasihat saya untuk terus kuatkan semangat, jangan terlalu berfikir sampai sakit. Sikap penyabar dan penyayang dia itu juga menjadi ‘ubat’ buat saya,” katanya yang kini turut mengharapkan sumbangan orang ramai untuk membeli mesin penumpu oksigen bagi kegunaan di rumah.
BACA JUGA:
PH ‘copy paste’ kepada BN, gesa warga Selangor pilih ori buang palsu
Pemilik restoran gemar kaitkan jin punca tiada pelanggan, tapi sebenarnya…
Lelaki kagum hasil bertukang sendiri dengan modal RM600 je tapi hasilnya ‘wow’!