Berita tentang sebuah jalan di Semenyih, Selangor, yang dilaporkan bercahaya dalam gelap baru-baru ini telah menjadi viral di media sosial.
Keadaan tersebut ternyata benar-benar berlaku, di mana cat jalan yang bercahaya dalam gelap atau dikenali sebagai ‘glow in the dark’
kini telah digunakan di persimpangan Jalan Sg Lalang B19 dan Jalan Sg Tekali B16 di Semenyih..
Menerusi perkongsian Bernama di laman Facebook, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini menginspeksi lokasi cat jalan ‘glow in the dark’ yang merupakan yang pertama di Malaysia di Jalan Sungai Lalang.
Konsep ini membolehkan garisan jalan kelihatan seperti biasa pada siang hari, tetapi akan bercahaya pada waktu malam. Ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya bagi mereka yang tidak biasa dengan kawasan tersebut.
Sebelum ini, Jabatan Kerja Raya Hulu Langat mengumumkan bahawa penggunaan cat jalan yang ‘bernyala dalam gelap’ ini adalah sebahagian daripada projek rintis yang dijalankan untuk memasukkan inovasi ke dalam bidang kejuruteraan jalan.
Dari gambar yang dikongsikan, jelas terlihat bahawa cat tersebut menghasilkan cahaya berwarna hijau pada waktu malam, memberikan kesan visual yang menarik.