JPJ tahan sekumpulan Mat motor guna nombor pendaftaran ‘LANGEK 43100’

Baru-baru ini, JPJ Melaka menahan sekumpulan remaja yang bermotosikal kerana melibatkan diri dalam pelbagai kesalahan jalan raya.

Penahanan ketiga-tiga remaja itu berlaku semasa anggota JPJ Melaka sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Rehat & Rawat Jejantas Ayer Keroh menuju ke Selatan.

Antara kesalahan yang paling ketara adalah penggunaan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi, dengan bertuliskan – ‘LANGEK 43100’.

JPJ tahan sekumpulan Mat motor guna nombor pendaftaran ‘LANGEK 43100’

Menurut kenyataan di laman Facebook JPJ Melaka, kumpulan remaja itu juga didapati melakukan kesalahan seperti tiada lesen memandu, pengubahsuaian swingarm, tiada brek belakang, dan pelanggaran teknikal lain.

“Masyarakat, terutamanya yang mempunyai anak remaja, diingatkan agar tidak membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.

“Pastikan motosikal tidak mengalami sebarang pengubahsuaian agar keselamatan pengguna jalan raya lain dapat dijaga, dan ketenteraman masyarakat tidak terganggu,” kata JPJ Melaka.

JPJ Melaka juga ingin mengingatkan pengguna jalan raya bahawa mempamerkan atau memasang nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi, kotor, kabur, atau yang bersifat mencolok adalah satu kesalahan.

Jika terbukti bersalah, individu tersebut boleh dikenakan kompaun atau saman sehingga RM250.00 di bawah kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (KKBM) 1959.

Sebarang maklumat atau aduan boleh disampaikan melalui aplikasi e-Aduan@jpj atau melalui jpj.spab.gov.my dengan menyertakan butiran pengadu dan butiran aduan.

BACA: “Abah kantoi nikah siam dengan janda anak 1, rupanya ibu punca segalanya, pasang skandal di tempat kerja”