Kecoh Mal Hamka dedah Ernie Zakri dan Siti Nurhaliza bakal berduet
Nama pendatang baharu Mal Hamka tiba-tiba menjadi bualan hangat di Twitter selepas dia memuat naik video bersama penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ernie Zakri di laman sosial miliknya.
Ekoran perkongsian video tersebut, peminat dua penyanyi berkenaan mula membuat spekulasi Mal atau Muhammad Ikhmal Mohd Hamka, 28, sedang dalam proses mencipta lagu menggandingkan Siti dan Ernie.
Ia susulan Mal dilihat merakamkan foto bersama Siti dan Ernie di lokasi sama yang menguatkan lagi desas-desus dua penyanyi itu bakal berduet lagu ciptaan Mal.
Pertemuan bersama dua penyanyi hebat buat Mal dapat perhatian ramai.
Ramai peminat membuat teka-teki lagu tersebut bakal dimuatkan dalam album terbaharu Siti iaitu Sitism versi deluxe yang bakal menemui peminat pada Ogos.
Berkongsi kisah sebenar, Mal berkata, pertemuan dengan dua penyanyi tersebut hanya berlaku secara kebetulan dan tidak ada kena mengena dengan sesi rakaman lagu baharu.
“Pertemuan itu berlaku secara kebetulan di sebuah studio untuk persiapan single terbaharu saya… memang kebetulan semuanya,” katanya
Dalam pada itu, Mal berkata, dia bagaimanapun sempat menghasilkan video bersama Siti dan Ernie namun tiada perancangan menggubah atau menulis lirik untuk mereka.
“Saya ada buat satu content tentang teka lagu dan sebelum ini pun saya pernah buat video sama… itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Mal sempat berkongsi tentang lagu terbaharunya berjudul Terhempas hasil ciptaan Nadad D yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Kata Mal, dia juga sempat memperdengarkan lagu tersebut kepada Ernie dan teruja apabila penyanyi berkenaan menyukai lagu tersebut.
“Terhempas adalah single solo pertama saya memandangkan sebelum ini saya lebih banyak bergandingan bersama rakan duo saya iaitu Fahimi Rahmat.
“Saya dan Fahimi masih lagi bersama cumanya kali ini kami ingin membawa kelainan dengan cuba bawa haluan sendiri,” ujarnya.
Besar harapannya agar Terhempas dapat memperkenalkan dia dalam kalangan penggemar muzik tempatan.
BACA JUGA:
Peminat berang bayar tiket mahal sekali KL kalah, membazir!
Kos ubat Sufi Syafrina sebanyak RM40,400
Pengebumian jenazah Allahyarham Salahuddin jam 12 tengah hari ini