Kelantan guna strategi gugurkan 16 ADUN untuk cipta perubahan besar
PAS menegaskan tindakan mereka tidak mengekalkan 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bukan disebabkan mereka tidak bagus atau cemerlang.
Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebaliknya ia adalah sebahagian taktikal dan strategi yang dilakukan pihaknya demi masa depan Kelantan.
Katanya, semua mereka yang tidak dikekalkan masing-masing cemerlang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sudah memberikan perkhidmatan terbaik.
“Jangan salah faham, mereka bukan tidak bagus sebaliknya kita mahu membuat lonjakan. Malah secara keseluruhan termasuk dari BERSATU, sebanyak 51.5 peratus adalah muka baharu.
“Ini perubahan terbesar dalam sejarah kita buat dan calon yang ditampilkan juga dari pelbagai bidang. Malah, orang kurang upaya (OKU) pun kita pilih jadi calon asalkan mereka layak dan bagus.
“Ini dinamakan perancangan jangka masa panjang kerana cabaran pada masa depan adalah lebih besar. Jika tidak dirancang dan diurus dengan baik, kita akan rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) `Kelantan Maju Rakyat Sejahtera, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Mohd Amar berkata, selama 33 tahun pemerintahan PAS tidak ada dalam kalangan pemimpin yang terbabit dalam isu rasuah
walaupun parti itu dilabel sebagai tidak tahu memerintah berikutan dasar membangun bersama Islam.
“Kebaikan membangun bersama dasar Islam selepas 33 tahun membuktikan tidak ada rasuah dalam kalangan pemimpin.
“Pencapaian ini yang sepatutnya dibanggakan kerana ia adalah nilai sebenar yang perlu ada dalam sesebuah kerajaan dan bukannya hanya pembangunan semata-mata.
“Kerajaan yang hebat adalah kerajaan bersih daripada rasuah dan buktinya di Kelantan tidak ada pimpinan politik yang terbabit dengan rasuah,” katanya.
BACA JUGA:
Pemilik restoran gemar kaitkan jin punca tiada pelanggan, tapi sebenarnya…
Lelaki kagum hasil bertukang sendiri dengan modal RM600 je tapi hasilnya ‘wow’!
Populariti Sanusi masih buatkan BN ketinggalan zaman – Muhammad Khizri