Kerajaan tambah baik sistem tenaga solar Sabah, Sarawak

Kerajaan tambah baik sistem tenaga solar Sabah, Sarawak

Satu sistem baharu pembekalan elektrik luar bandar menggunakan tenaga solar yang dilengkapi bateri untuk kenderaan elektrik (EV) akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sistem menggunakan teknologi baharu itu akan menggantikan sistem tenaga solar yang digunakan sebelum ini di kawasan luar bandar kedua-dua negeri.

Kerajaan tambah baik sistem tenaga solar Sabah, Sarawak

Beliau mengakui, bateri adalah masalah utama sistem tenaga solar sebelum ini termasuk pergantungan kepada hanya satu pembekal untuk penukaran bahan itu menyebabkan ia tidak praktikal.

“Pemasangan panel solar (di Sabah dan Sarawak) sudah dilakukan lebih satu dekad lalu, tetapi oleh kerana sistem penukaran bateri diberikan satu pihak sedangkan kawasan Sabah dan Sarawak ini terlalu luas, maka ianya tidak praktikal dan mengambil masa dan akhirnya kawasan yang menggunakan tenaga solar mengalami kegelapan lebih lama.

“Oleh itu, satu sistem baharu perlu diwujudkan untuk kaedah menggantikan bateri ini dengan bateri baharu sebagai mana bateri EV,” katanya selepas menyempurnakan penutupan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, teknologi baharu tenaga solar untuk luar bandar Sabah dan Sarawak bakal membawa perubahan dalam pembekalan elektrik menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Malah, beliau berkata bateri EV yang akan digunakan dalam sistem baharu tenaga solar itu mempunyai jangka hayat lebih lama, dengan pembekal bateri untuk sistem tenaga solar yang akan dilaksanakan akan ditambah dan diletakkan di beberapa kawasan berbanding hanya satu yang digunakan sebelum ini.

Mengenai pembangunan koperasi belia, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menggalakkan golongan muda berkecimpung dalam bidang keusahawanan termasuk melalui koperasi bagi menjana pekerjaan dan pendapatan.

Katanya, pembabitan mereka bukan setakat diperlukan dalam negara, malah boleh dikembangkan ke peringkat serantau dan antarabangsa sejajar perkembangan semasa aktiviti koperasi.

“Gerakan koperasi walaupun sudah lama di Malaysia, tetapi kita mesti berada selangkah ke hadapan berbanding negara lain sejajar hasrat Perdana Menteri menjadikan negara ini sebagai harimau ekonomi di rantau ini,” katanya.

BACA JUGA:

Pasangan miskin tiba-tiba pakai iPhone 14, rupanya kantoi jual bayi sendiri berusia 8 bulan

Shakilla Khoriri beri penjelasan foto didakwa berzina bersama suami orang

Hannah yakin PKBM, MSN dapat selesai isu LTdL