kerugian hampir rm60 Juta akibat jenayah komesial
Sejumlah 1,465 kes jenayah komersial melibatkan kerugian RM60 juta dicatatkan di Sarawak dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 1,278 kes melibatkan kerugian RM36 juta dalam tempoh sama tahun lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.
“Kerugian paling banyak dicatatkan membabitkan penipuan pelaburan membabitkan RM12.4 juta (115 kes) diikuti penipuan telefon dengan RM8 juta (111 kes),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
Kerugian penipuan lain katanya, melibatkan e-dagang dengan RM2.06 juta (279 kes), tawaran kerja palsu dengan RM3.9 juta (165 kes) dan pinjaman palsu dengan RM1 juta (154 kes).
JSJK antara 1 Januari hingga 30 Jun telah membuat 456 tangkapan dan seramai 652 individu (termasuk kes dari tahun lepas) telah didakwa di mahkamah.
“JSJK juga telah membuka sejumlah 628 kertas siasatan yang melibatkan penipuan dan jenayah komersial lain,” katanya.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya segera menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional di talian 997 jika mereka menjadi mangsa penipuan siber (penipuan telefon, penipuan cinta, e-dagang, pinjaman tidak wujud) dan jika mereka baru sahaja membuat pemindahan wang ke mana-mana akaun bank.
Sementara itu katanya, polis turut mengenal pasti 2,354 akaun bank milik ‘keldai akaun’ di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Sehubungan itu, Mohd Azman memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak ‘menyewa’ atau menyerahkan butiran perbankan dan kad ATM mereka untuk menjadi akaun keldai bagi sindiket penipuan.
“Akaun ini telah dikenal pasti terlibat dalam penipuan pembelian dalam talian, penipuan tawaran kerja sambilan serta penipuan lain yang telah mencatatkan kerugian lebih RM40 juta kepada mangsa mereka,” katanya.
Beliau berkata siasatan kes yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak telah menyebabkan 444 pemegang akaun ditahan dan didakwa di mahkamah antara Januari dan Jun.
BACA JUGA:Amanah Selangor bakal bertanding 9 kerusi PRN Selangor