Kini Mane sah temani Ronaldo di Al-Nassr
Kelab Arab Saudi, Al-Nassr mengesahkan mereka mengikat penyerang Bayern Munich, Sadio Mane awal pagi tadi ketika bintang Senegal itu bersiap sedia untuk bergandingan dengan pemenang Ballon d’Or lima kali Cristiano Ronaldo.
Pemain Terbaik Tahunan Afrika dua kali itu adalah pemain berprofil tinggi terbaharu menyertai Liga Pro Saudi yang kaya raya.
“Saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada kalian, saya tidak sabar untuk bertemu anda,” kata Mane dalam satu video yang ditujukan kepada penyokong Al-Nassr dalam akaun media sosial kelab itu.
Kedua-dua kelab mengumumkan mengenai perpindahan membabitkan bekas bintang Liverpool dengan media Jerman menganggarkan yuran perpindahan sekitar 30 juta euro (RM149 juta) dengan kontrak tiga tahun manakala Mane akan menerima gaji tahunan 40 juta euro (RM198 juta) selain 10 juta euro (RM49.6 juta) bonus berlandaskan keputusan.
Sadio Mane hanya mampu menjaringkan 12 gol bersama Bayern Munich dalam semua pertandingan sepanjang musim lalu.
“Meninggalkan Bayern meluluhkan hati saya. Saya mengharapkan penamat yang berbeza,” katanya kepada Sky Germany.
Mane berpindah ke Bayern tahun lalu dengan harapan besar selepas mengumpul 120 gol dalam 269 perlawanan bersama Liverpool yang mana dia memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.
Dia menjadi tonggak utama serangan kelab Merseyside itu namun gagal mengulangi kehebatan sama di Bayern, yang mana dia bergaduh dengan rakan sepasukan Leroy Sane dan menumbuk pemain sayap Jerman itu – kesalahan yang menyebabkan dia didenda dan digantung perlawanan.
Mane mempunyai purata 20 gol semusim dalam lima kempen terakhirnya bersama Liverpool namun hanya meledak 12 gol buat Bayern.
“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Sadio Mane kerana sumbangannya musim lalu,” kata ketua pegawai eksekutif Bayern, Jan-Christian Dreesen kepada laman web kelab.
Mane menyertai Al-Nassr yang diperkukuhkan skuad mereka sejak kehadiran Ronaldo musim lalu.
Kelab Liga Pro Saudi itu, yang muncul naib juara musim lalu, mengikat pemain tengah Marcelo Brozovic dari Inter Milan dan Seko Fofana dari Lens manakala pertahanan kiri Alex Telles turut hadir dari Manchester United.
BACA JUGA:
Bayi baru lahir nyaris maut ditangan nenek – Ibu tak cukup susu, nenek memandai suap air kosong
Bayi baru lahir nyaris maut ditangan nenek – Ibu tak cukup susu, nenek memandai suap air kosong
Hannah lancar Inisiatif Sukan Rahmah untuk rakyat