Sebuah bangunan perindustrian biasa di Ang Mo Kio menempatkan makmal yang telah membiak lebih 300 juta nyamuk dan menghasilkan 7 juta lagi setiap minggu.
Di sinilah terletak markas Projek Wolbachia, yang menghasilkan dan melepaskan di lokasi-lokasi terpilih nyamuk-nyamuk Aedes aegypti jantan untuk mencari pasangan betina masing-masing.
Oleh kerana nyamuk jantan membawa bakteria Wolbachia, telur yang terhasil tidak menetas dan ini membantu dalam menyekat populasi nyamuk.

Namun, kes denggi di Singapura nampaknya tidak menurun sejak Projek Wolbachia dilancarkan pada 2016. Sebanyak 32,173 kes denggi dilaporkan pada 2022, kedua tertinggi dalam setahun, dengan rekod tertinggi sebanyak 35,266 pada 2020.
Awal bulan ini, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran bahawa Singapura sekali lagi berisiko mengalami lonjakan kes denggi. Kes denggi mingguan telah mencecah beberapa ratus dan lebih daripada 50 kluster aktif telah muncul.
Projek Wolbachia bukan huraian mutlak untuk membendung penularan denggi, kata Dr Ng Lee Ching, pengarah kumpulan Institut Kesihatan Sekitaran di NEA.
“Walaupun adanya Projek Wolbachia … ini tidak bermakna kita tidak lagi menghadapi risiko.”

Di beberapa tapak Projek Wolbachia seperti Tampines, Yishun dan Choa Chu Kang, populasi nyamuk Aedes aegypti telah tuurun sehingga 98 peratus dan kes denggi pula turun sehingga 88 peratus, kata Setiausaha Parlimen Kanan Baey Yam Ken, Mac lalu.
Tetapi walaupun teknologi Wolbachia berkesan dalam mengurangkan risiko penularan denggi, ia perlu dilengkapkan dengan usaha kawalan denggi, kata Dr Ng.
“Jika terdapat banyak nyamuk di luar sana, Wolbachia yang kita hantar tidak dapat bersaing dengan nyamuk-nyamuk itu. Ia mudah diatasi nyamuk-nyamuk liar yang lain.”
Nyamuk Wolbachia dengan itu akan lebih berkesan dalam mengurangkan populasi nyamuk jika jenis liar pun diturunkan, tambahnya.
Lonjakan denggi baru-baru ini juga telah didorong oleh peningkatan kes virus denggi serotype 1 (DENV-1). Virus jenis ini telah menggantikan serotype DENV-3 yang dominan sebelum ini.
BACA :