Melabur RM104 juta pada MARA telah mencerminkan keprihatianan kerajaan
Peruntukan Belanjawan 2023 sebanyak RM104 juta yang disalurkan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memperkasa ekonomi komuniti usahawan ke arah lebih dinamik.
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman, berkata melalui dana yang disalurkan kerajaan kepada MARA, agensi ini mampu menyediakan kemudahan sokongan di bawah ekosistem keusahawanan, merangkumi kemudahan pembiayaan perniagaan, sewaan premis perniagaan dan khidmat nasihat.
Beliau berkata, untuk membangunkan usahawan ke aras seperti hari ini, memerlukan perspektif menyeluruh dan harus disertai dengan sumber mencukupi, lebih-lebih lagi penyaluran dana daripada kerajaan.
Katanya, sumber ini akan diuruskan dengan cekap untuk menyokong inisiatif yang dirangka bagi mencatat pertumbuhan dan pengembangan perniagaan, khususnya kepada Bumiputera.
“MARA menyediakan ekosistem keusahawanan yang lengkap dalam membantu usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan,” katanya
Zulfikri berkata, program pembangunan usahawan yang ditawarkan bertujuan untuk melengkapkan usahawan dengan ilmu perniagaan yang diperlukan melalui latihan dan program keusahawanan khas MARA.
Malah, program khas keusahawanan itu dirangka bagi meluaskan lagi rantaian perniagaan usahawan di samping merapatkan jurang antara usahawan bertaraf global dan kecil.
“Program khas ini turut mendapat kerjasama daripada pemain industri serta rakan strategik bagi memantapkan lagi pembangunan dalam industri yang disasarkan.
“Sasaran program ini pula untuk mengoptimumkan prestasi serta mewujudkan peluang bagi usahawan berkembang dan memajukan perniagaan mereka menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti,” katanya.
Dalam pada itu, Zulfikri berkata, daripada keseluruhan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan kepada MARA menerusi Belanjawan 2023, sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi program latihan keusahawanan termasuk program khas.
“Selain itu, RM80 juta disalurkan untuk pembiayaan perniagaan, manakala RM2 juta lagi bagi pembangunan industri komersial.
“Peruntukan Belanjawan 2023 yang disalurkan kerajaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Bumiputera melalui sektor keusahawanan MARA adalah dengan memberi tumpuan kepada menaikkan taraf, penambahan bilangan dan kemudahan premis perniagaan; Program Transformasi Premis Usahawan Luar Bandar (TRENT), pelbagai program pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk pembiayaan DanaNITA serta Automasi dan Digitalisasi: Program Pendigitalan Perniagaan,” katanya.
Katanya, dana terbabit akan disalurkan kepada usahawan menerusi empat strategi, iaitu pemerkasaan tadbir urus syarikat usahawan, mempertingkatkan penyertaan usahawan dalam sektor ekonomi baru muncul; mengadaptasi perniagaan ke arah automasi dan pendigitalan serta pembangunan perniagaan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Katanya, bagi memperkasa tadbir urus perniagaan atau tadbir urus syarikat usahawan, banyak program yang sudah dilaksana.
“Usahawan ini didapati bijak berniaga, namun pengurusan syarikat tidak diuruskan dengan betul. Ini adalah satu sebab kenapa syarikat ini tidak mampu kekal dalam perniagaan,” katanya.
Sementara itu, untuk mempertingkatkan penyertaan usahawan dalam sektor ekonomi baru muncul, MARA memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu automotif, makanan dan minuman, gaya hidup, pembinaan dan perkhidmatan.
“Pada masa sama, MARA turut meneroka industri baru muncul antaranya tenaga boleh diperbaharui seperti pembangunan program proSOLAR yang dilancarkan baru-baru ini, serta platform pendigitalan,” katanya.
Dalam usaha mengadaptasi perniagaan ke arah automasi dan pendigitalan pula, Zulfikri berkata, menerusi strategi ini, MARA menyediakan geran pendigitalan sehingga RM20,000.
Menjelaskan pembangunan perniagaan graduan IPT, katanya, strategi ini memberi keutamaan kepada lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA).
Contohnya, pembangunan Program Inspirasi Usahawan Belia (RISE) bertujuan memberi pendedahan berkaitan ekosistem keusahawanan kepada pelajar dan alumni IPMA serta usahawan belia yang sudah menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan.
Beliau berkata, fokus strategi sektor keusahawanan MARA bagi tahun 2023 adalah sebahagian daripada strategi yang telah digariskan dalam Pelan Strategik MARA 2021-2025 ke arah pembangunan komuniti usahawan yang lebih dinamik.
“Inisiatif MARA dalam membantu usahawan membangunkan perniagaan, sentiasa dikemas kini agar kewujudan mereka memberi impak dalam industri,” katanya.
Mengenai prestasi MARA yang sudah dicapai setakat ini, Zulfikri berkata pihaknya menerima sambutan menggalakkan daripada usahawan.
Katanya, setakat ini, MARA sudah membelanjakan hampir RM7 juta bagi program latihan keusahawanan dan program khas yang memberi manfaat kepada 2,635 usahawan.
“Kami juga sudah menyalurkan dana pembiayaan kepada 1,558 usahawan yang membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM176.4 juta termasuk menggunakan tambahan dana daripada MARA.
“Bagi program pembangunan industri komersial pula, MARA sudah menyalurkan dana sebanyak RM718,067 yang memberi manfaat kepada 646 usahawan,” katanya.
Beliau berkata, dengan ketidaktentuan ekonomi semasa, peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2023 dalam pembangunan usahawan Bumiputera amat dinantikan usahawan untuk kelangsungan perniagaan dan meningkatkan kualiti produk masing-masing.
“Dengan inisiatif yang sudah dilaksanakan, kami mahu usahawan di bawah MARA mampu kekal bersaing di pasaran dan bijak mengatur strategi perniagaan yang betul serta relevan walaupun berhadapan dengan apa jua krisis.
Mereka juga harus yakin mereka ini bakal menjadi usahawan peneraju yang boleh menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Saya berharap penyaluran dana daripada kerajaan menerusi Belanjawan 2023 atau Belanjawan MADANI dapat meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan masing-masing,” katanya.
BACA JUGA:
Kini Sungai Pahang menjadi lubuk udang galah yang terbesar
Tak patut bandingkan Kelantan dengan KL, sebenarnya Kelantan pun dah maju – Timbalan Menteri Besar
”Malaysia over” – Jocelyn Chia sindir reaksi Malaysia tentang isu kumpulan The 1975