Pakar cadang mansuh pencen ahli politik, didakwa jadi punca beban perbelanjaan kerajaan

Pakar menyifatkan perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan dan digunakan semula untuk menambah baik kualiti hidup rakyat sekiranya pencen ahli politik dimansuhkan, lapor Sinar Harian.

Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, hasil penjimatan tersebut kerajaan boleh jadikan ia sebagai dana bantuan untuk membangunkan beberapa kawasan yang memerlukan.

“Sekarang adalah masa yang terbaik untuk memansuhkan pencen ahli politik dan digantikan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kerana kebanyakan ahli politik berhadapan dengan masalah kekurangan peruntukan.

Pakar cadang mansuh pencen ahli politik, didakwa jadi punca beban perbelanjaan kerajaan

“Langkah ini merupakan salah satu cara yang boleh kerajaan guna untuk menambah baik infrastruktur awam tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih,” katanya.

Jelas Ahmed Razman, pemberian wang pencen kepada ahli politik juga perlu dikaji semula oleh kerajaan dengan mementingkan faktor perkhidmatannya kepada rakyat.

Menurutnya, kaedah baharu untuk menggantikan pemberian wang saraan perlu dipertimbangakan kerajaan, di mana ahli politik baharu tidak lagi diberikan pencen.

“Saya mencadangkan kerajaan melakukan polisi baharu iaitu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kesemua ahli politik baharu tidak lagi diberikan wang pencen sebaliknya digantikan dengan caruman KWSP atau KWAP.

“Pelaksanaan kaedah itu dilihat lebih adil dan secara tidak langsung akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata perbelanjaan tahunan akan semakin meningkat sekiranya kerajaan tidak mempertimbangkan cadangan pemansuhan pencen kepada ahli politik.

“Belanjawan 2023 menunjukkan jumlah perbelanjaan pencen adalah sebanyak RM22.6 bilion dan ia angka berkenaan akan semakin meningkat. Salah satunya disebabkan pencen ‘orang politik’.

“Secara keseluruhannya, pencen juga perlu diuruskan sebelum menjadi beban di kemudian hari. Salah satu cara dengan menggunakan skim caruman KWSP juga,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan memansuhkan pencen untuk semua menteri dan ahli Parlimen serta dimasukkan ke skim caruman KWSP seperti orang lain.

Difahamkan, rencana tersebut diutarakan susulan terdapat beberapa pemimpin yang hanya berkhidmat selama satu penggal, di mana hanya menjadi menteri selama empat hingga lima tahun, tetapi menerima pencen seumur hidup, kata Thomas Fann, pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

BACA :

‘Orang berada ni sanggup beli rumah berjuta sebab nak tenang, nak privacy, nak rehat. Dik. Kau kaya, kau banyak duit orang sikit pun tak heran’
Hotel di Sabah ‘kantoi’ pasang kamera tersembunyi dalam bilik oleh pelancong dari China
‘TikTokers BUKAN satu pekerjaan !! Saya minta maaf kalau ada ibu bapa yang tak setuju..’