PN perlu sekat gelombang hijau – Rafizi
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyangkal dakwaan ‘Gelombang Hijau’ akan memberi laluan mudah kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Sebaliknya, beliau berkata, hasil tinjauan mendapati trend sokongan pengundi Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan semakin meningkat, selain ia sudah melepasi paras untuk mengekalkan kemenangan selesa di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Namun, katanya, ia tidak boleh dijadikan alasan kepada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) untuk memandang ringan persaingan pada PRN ini, sebaliknya perlu lebih agresif mendekati pengundi bagi memperoleh kemenangan bergaya di setiap negeri.
“Kita juga ada peningkatan ketara (sokongan pengundi Melayu) di Kedah dan Kelantan. Namun, di Terengganu saja pada pandangan saya, PN kekal mendahului dan ini saya akui secara terbuka dan objektif.
“(Sokongan pengundi Melayu) di Kelantan dan Terengganu pun ada lonjakan baik, cuma asas kekuatan undi Melayu (kepada) PN di Kedah dan Kelantan memang sudah tinggi dan kekal pada kadar sama satu, dua minggu ini.
“Namun, pandangan saya ia bukanlah laluan mudah (kepada PN) seperti yang disebarkan sebelum ini. Mereka kata PRN kali ini akan sapu bersih di Kelantan dan Kedah, namun saya tidak nampak begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ceramah Mega Malaysia MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar di Padang Taman Telok Ayer Tawar Indah di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden merangkap Pengerusi PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar.
Terdahulu, ketika berucap pada program itu, Rafizi menafikan dakwaan kedudukan Melayu di negara ini tergugat susulan gabungan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan, seperti sering dibangkitkan PN sebelum ini.
Pengarah Pilihan Raya PKR itu sebaliknya menegaskan UMNO, PKR dan DAP berkorban demi mengutamakan orang ramai, selain memainkan peranan masing-masing dalam memberi tumpuan demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Mengenai pembabitan DAP, beliau berkata, parti itu terpaksa mengetepikan peluang wakilnya dilantik menganggotai Kabinet, sebaliknya hanya menamakan empat Ahli Parlimen sebagai menteri dalam Kerajaan Perpaduan, biarpun memenangi kerusi paling banyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Antara perjanjian dalam Kerajaan Perpaduan ialah penyertaan dalam kerajaan mesti berkadar langsung dengan jumlah Ahli Parlimen (setiap parti), tetapi untuk DAP, kita terpaksa memberi penjelasan dan memujuk mereka dalam perkara ini.
“Maka dalam hal ini, DAP kena mengalah supaya kuota mereka beralih kepada PKR. Mereka menerimanya dengan rela hati demi meredakan (sentimen) perkauman sebab kita mahu tumpukan (perhatian) kepada rakyat dan mengutamakan kepentingan negara.
“Kita masing-masing tahu ada peranan tersendiri untuk membina negara. PKR, UMNO dan DAP memainkan peranan tersendiri, tiada hero atau sesiapa pun yang besar, sebaliknya masing-masing memainkan peranan, barulah negara ini insya-Allah akan dapat (dibina) semula,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu, berkata sentimen kononnya Melayu terancam yang dimainkan PN itu bagi mengalih perhatian terhadap segelintir pemimpin mereka yang dikatakan tamak kuasa.
Ini kerana, katanya, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, membabitkan semua parti dengan idea itu dibantah Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ia bukannya ditolak oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH merangkap Presiden PKR). Masalahnya mereka tolak (cadangan Tuanku) dan dengan yakin memaklumkannya kepada umum kerana ketika itu, dia (Muhyiddin) yakin boleh memecahbelahkan UMNO dengan ‘mencuri’ 10 Ahli Parlimen UMNO.
“Tiba-tiba cerita sekarang bertukar terus kepada (kedudukan) Melayu diancam. Ia bukan soal ini, sebaliknya dia (Muhyiddin) tidak mahu merendahkan diri serta mengetepikan perbezaan demi menumpukan perhatian kepada rakyat.
“Apabila sudah terlajak tak boleh jadi PM, sekarang dia bakar kata Melayu terancam sebab kononnya mahu beri tahu UMNO sekarang bukan seperti dulu,” katanya.
BACA JUGA:
Azilal, Magribi catat 24 orang maut secara tragis dalam kemalangan jalan raya
Ubai reda jika Shila ingin ke China – Ubai bersedia jika dikurniakan cahaya mata
Jabatan Imigresen Malaysia menahan pendatang asing tanpa izin seramai 425 termasuk kanak-kanak