Rakyat diseru keluar mengundi demi kebajikan rakyat
Hari ini sekitar 9.7 juta pengundi di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu bukan sahaja bakal menentukan siapakah daripada sejumlah 570 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjadi wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) enam negeri terbabit, bahkan gabungan parti manakah akan mentadbirnya untuk tempoh sepenggal.
Undi yang ‘dibuang’ di pusat mengundi antara jam 8 pagi hingga 6 petang itu akan menentukan sama ada pentadbiran semasa dikekalkan atau kepemimpinan baharu bakal dinaikkan, sekali gus membentuk arah tuju kemajuan negeri dan menjaga kehidupan serta kebajikan rakyat.
Dengan kempen dua minggu yang bermula sejak 29 Julai lalu tamat tepat jam 12 tengah malam tadi, semua calon dan jentera pilihan raya parti masing-masing sudah pun meletakkan ‘senjata’, maka diharap jangan lagi ada yang cuba memikat mahupun merayu undi, sebaliknya memberi peluang kepada pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Wajar juga diingatkan kepada pemimpin parti supaya memastikan ahli dan penyokong mereka kekal bertenang serta mengawal emosi, termasuk ketika waktu kritikal pengiraan undi atau selepasnya apabila keputusan diumumkan.
Kepada pengundi, inilah masanya untuk menentukan gabungan atau parti manakah diharapkan untuk mewakili suara mereka di DUN, membantu dalam menyelesaikan isu berkait bandar, pinggir bandar mahupun kampung yang didiami atau menjadi tempat sandaran untuk meminta pertolongan yang tidak ditolak mentah-mentah ibarat kata pepatah, ‘laut tidak membuang sungai, rimba tidak membuang latah dan condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan’.
Hakikatnya, pilihan bakal dibuat bukan sahaja demi kepentingan lima tahun ini, bahkan landasan menentukan sejauh mana anak cucu mereka dapat menikmati pembangunan seimbang antara material, intelektual dengan spiritual dan kehidupan berkualiti dari segi politik, sosial, ekonomi, pendidikan dan agama.
Justeru, usah jadikan retorik kosong atau janji bulan bintang, permainan emosi, bahkan manipulasi isu perkauman dan keagamaan sebagai sandaran dalam membuat pilihan, sebaliknya undilah gabungan atau parti diyakini dapat membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh dan menjaga kebajikan dalam kehidupan tentunya perlu didasarkan kepada manifesto ditawarkan, sekali gus dibandingkan dengan rekod prestasi sebelum ini.
Kita juga mengingatkan kepada gabungan parti yang menang dalam sistem first-past-the-post ini untuk mencadangkan nama Menteri Besar atau Ketua Menteri terbaik dalam kalangan ADUN yang dipilih rakyat itu untuk dipersembahkan kepada Sultan, Yang di-Pertuan Besar dan Yang di-Pertua Negeri, iaitu memiliki kebijaksanaan dan daya kepemimpinan serta akhlak, moral dan etika tinggi untuk membawa pentadbiran negeri sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun menghadapi cabaran.
Bagi yang namanya dipilih untuk mengetuai kerajaan negeri itu pula, kita meminta mereka untuk memilih pula barisan EXCO atas kriteria sama serta memberikan tanggungjawab sesuai dengan keupayaan dan kepakaran dimiliki, sekali gus tidak membolot portfolio hingga tidak berupaya melaksanakannya.
BACA JUGA:
Peminat berang suruh Messi saman PSG gara-gara guna namanya untuk keuntungan
Aisar Khaled buat hal lagi, tabur kupon dekat peminat mcm bagi ayam makan
Gadis mental nak kahwin tapi BF masih belajar, “Rasa macam nak kahwin je dengan sesiapa…”