Ubai reda jika Shila ingin ke China – Ubai bersedia jika dikurniakan cahaya mata

Ubai reda jika Shila ingin ke China – Ubai bersedia jika dikurniakan cahaya mata

Pempegaruh media sosial Ubai tidak akan menghalang isterinya Shila Amzah jika penyanyi itu mahu meneruskan semula karier seninya di China.

Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, berkata, sebelum berkahwin lagi dia sedar tentang keinginan Shila untuk kembali ke China dan sebagai suami dia terbuka dengan perkara tersebut.

Ubai reda jika Shila ingin ke China - Ubai bersedia jika dikurniakan cahaya mata

“Saya tidak pernah mempersoalkan atau menghalang Shila untuk terus meluaskan karier seninya kerana saya tahu itu adalah kerjayanya.

“Apa yang buat dia gembira, teruskan. Dia pun tak pernah halang kerjaya saya,” katanya

Ubai berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas pasangan itu disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di The Boathouse Ampang, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Sebelum ini, Shila ada memaklumkan sedang dalam pertimbangan dengan tawaran diterima untuk meneruskan semula karier seninya di China yang tergendala susulan penularan Covid-19 sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, Shila, 33, berkata, sebagai isteri dia keberatan untuk menjalinkan perhubungan jarak jauh (PJJ) namun terbuka meneruskan kehidupan dengan cara itu buat masa ini.

Kata Shila, adalah tidak adil buat Ubai meninggalkan kariernya sebagai pencipta kandungan digital dan penerbit di sebuah portal demi merialisasikan impiannya untuk kembali ke China.

“Saya sebenarnya tak mahu PJJ tapi kalau perlu… Penerbangan ke China enam jam sahaja, sampai Beijing!

“Sebagai isteri saya mahu Ubai mengembangkan kariernya di sini sebab usianya masih muda… Saya ini kira macam sudah 10 tahun ke depan berbanding dia.

“Jadi saya mahu dia mencari apa yang terbaik untuk dirinya, mengembangkan karier sebagai penerbit dan saya mahu dia berjaya,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap soal zuriat, Shila dan Ubai tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat ini.

“Kami tiada perancangan khusus berkaitan anak sebab bagi saya, kalau ada Alhamdulillah.

“Kami ‘sekufu’ bab ini… Untuk urusan anak, seandainya ada rezeki kami tidak menolak,” katanya. .

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Amir Amzah Salleh atau ND lala dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Darul Ehsan Taman Tun Razak Ampang, Mohamad Khairi Hussein.

Untuk rekod, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia empat tahun

BACA JUGA:

Mahathir bebas daripada belenggu kesakitan

Jabatan Imigresen Malaysia menahan pendatang asing tanpa izin seramai 425 termasuk kanak-kanak

Gara-gara minta tandatangan Messi, tukang cuci terus hilang pekerjaan